Tuesday, September 30, 2008

Amalan ziarah kubur musim raya

Amalan ziarah kubur musim raya digalakkanISLAM menggalakkan umatnya saling hormat-menghormati sesama manusia dan tidak terkecuali dengan orang yang telah meninggal dunia. Berikutan itu, Islam menganjurkan umatnya menghormati ahli kubur serta menjaga kehormatan persekitaran kubur. Dalam masyarakat kita, amalan menziarahi tanah perkuburan sudah lama diamalkan, lebih-lebih lagi ketika menjelang hari raya.Amalan menziarahi perkuburan sebaiknya diteruskan. Dengan berbuat demikian akan menyedarkan kita bahawa setiap yang hidup pasti akan mati. Dengan ini akan membentuk jiwa kita agar tidak rakus dan tamak harta dunia.Diriwayatkan daripada Abu Hurairah bahawa Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Ziarahilah perkuburan, kerana perbuatan demikian mengingatkan kamu kepada kematian.” (Hadis riwayat Muslim). Di samping itu, ia akan mengingatkan mengenai asal usul kejadian kita. Daripada tanah kita diciptakan dan kepada tanahlah dikembalikan.Di negara kita, amalan menziarah tanah perkuburan dilakukan oleh semua lapisan masyarakat, sama ada lelaki atau perempuan; dewasa atau kanak-kanak. Dalam hal ini, perkara yang perlu diketahui adalah adab ziarah kubur yang harus diikuti dan diamalkan.Antaranya, orang yang hendak menziarahi kubur itu disunatkan berwuduk terlebih dulu, memakai pakaian bersih, sopan dan menutup aurat.Apabila seseorang itu sampai ke tanah perkuburan, disunatkan memberi salam kepada ahli kubur terlebih dulu. Diriwayatkan daripada Muhammad bin Qais bin Makhramah bin Mutalib bahawa Rasulullah SAW ketika menziarahi tanah perkuburan, Baginda mengucapkan kata-kata yang maksudnya: “Mudah-mudahan Allah mencurahkan limpah kesejahteraan kepada kamu sekalian wahai penghuni kubur daripada kalangan orang mukmin. Semoga Allah memberi rahmat kepada orang yang mendahului kami dan orang yang kemudian. Sesungguhnya Insya-Allah kami akan menyusul kamu sekalian.” (Hadis riwayat Muslim). Amalan memberi salam ini sebaik-baiknya dilakukan dalam keadaan berdiri di tepi perkuburan dengan membelakangi kiblat dan menghadap ke arah muka ahli kubur yang diziarahi itu.Selain itu, disunatkan berdoa dengan cara berpaling ke arah kiblat serta mengangkat kedua-dua belah tangan dan mohon kepada Allah semoga roh ahli kubur dilimpahi dengan rahmat, keselamatan, kesejahteraan dan sebagainya.Ketika menziarahi perkuburan, perlu meninggalkan segala larangan dan tegahan. Antaranya dilarang meratapi disebabkan oleh perasaan yang amat berduka cita di atas pemergian orang yang disayangi. Rasulullah SAW menegah perbuatan meratapi di atas kematian kerana perbuatan itu akan menyebabkan mayat diseksa pada hari kiamat kelak. Diriwayatkan daripada Mughirah bin Syu'bah bahawa beliau mendengar Rasulullah bersabda bermaksud, "sesiapa yang meratapi mayat, maka mayat itu diseksa pada hari kiamat." (Hadis riwayat Muslim).Diriwayatkan daripada Umar bin al-Khattab bahawa Rasulullah bersabda bermaksud: "Mayat berasa terseksa dalam kuburnya kerana diratapi" (Hadis riwayat Muslim).Kita juga dilarang bercakap mengenai perkara tidak berfaedah dan keji. Makruh jika kita duduk di atas kubur yakni duduk bertepatan dengan kedudukan mayat dalam kubur. Tetapi tidaklah dilarang jika duduk di sekitar atau di sekeliling kubur.Larangan duduk di atas kubur berdasarkan sabda Rasulullah bermaksud: “Seseorang yang duduk di atas bara api lalu terbakar pakaiannya hingga terkupas kulitnya, adalah lebih baik baginya daripada duduk di atas kubur.” (Hadis riwayat Muslim). Selain itu, dilarang memijak kubur dengan sengaja tanpa sesuatu keperluan atau hajat, tetapi tidaklah menjadi kesalahan jika tiada jalan lain dan terpaksa.Perlu diingat bahawa melakukan perkara khurafat yang boleh menjejaskan akidah seperti mencium kubur dan mengusap-usap tanah perkuburan adalah haram hukumnya. Oleh itu, sempena Aidilfitri nanti marilah sama-sama kita menziarahi pusara sanak saudara yang telah lama kembali ke Rahmatullah. INTI PATIAdab ziarah kubur
Disunatkan berwuduk terlebih dulu, memakai pakaian bersih, sopan dan menutup aurat.
Disunatkan memberi salam kepada ahli kubur terlebih dulu. Digalak dilakukan dalam keadaan berdiri di tepi perkuburan dengan membelakangi kiblat dan menghadap ke arah muka ahli kubur yang diziarahi itu.
Disunatkan berdoa dengan cara berpaling ke arah kiblat serta mengangkat kedua-dua belah tangan dan mohon kepada Allah semoga roh ahli kubur dilimpahi dengan rahmat, keselamatan dan kesejahteraan.
Dilarang meratap kerana perbuatan itu menyebabkan mayat diseksa pada hari kiamat kelak.
Dilarang bercakap perkara tidak berfaedah dan keji.
Makruh duduk di atas kubur yakni duduk bertepatan dengan kedudukan mayat dalam kubur.
Dilarang memijak kubur dengan sengaja, tetapi tidaklah menjadi kesalahan jika tiada jalan lain dan terpaksa.
Haram buat perkara khurafat yang boleh menjejaskan akidah seperti mencium kubur dan mengusaptanah perkuburan.

No comments: